GUA MUSANG – Seorang penuntut Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Gua Musang maut manakala dua rakannya cedera dilanggar bas di Hentian Bas Bandar Baru di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Supt Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian 6.50 petang itu, pemandu bas dari Kuala Krai ke Gua Musang, Mohd Rashid Yaacob, 53, yang tidak sihat sedang memberhentikan basnya di hentian itu bagi menurunkan penumpang.
Bagaimanapun, beliau tiba-tiba pengsan menyebabkan bas itu hilang kawalan dan bergerak menuruni bukit sebelum merempuh lima penuntut KPTM yang kebetulan melalui kawasan itu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Saiful Bahri berkata Nur Kharunnisa Hamzah, 20, dari Rawang, Selangor, meninggal dunia kerana cedera parah di kepala manakala Nor Aina Sofia Mohd Salleh, 18, yang cedera parah sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Norhaslili Shafikah Hasbullah, 20, dari Bukit Permai, Kuala Lumpur pula hanya cedera ringan manakala dua lagi rakan mereka Siti Nurfalinda Mohd Asri, 18, dan Nur Asila Atiqah Shahruddin, 18, selamat, katanya.
Saiful Bahri berkata mayat Nur Kharunnisa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya pagi ini untuk dikebumikan di Rawang.
“Pemandu bas yang dilaporkan sakit perut sebelum pengsan kini sedang dirawat di HGM,” katanya.
Menurutnya ketika kejadian, lima penuntut KPTM itu dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan mereka selepas membeli makanan di tapak ekspo bersebelahan hentian bas berkenaan.
Beliau berkata kesemua mangsa dirempuh dari belakang dan Nur Kharunnisa berada di sebelah kanan sekali, dua yang cedera pula tercampak ke dalam longkang.
Sebaik bas merempuh mangsa, kenderaan itu terus bergerak sejauh 20 meter dan turut merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diletakkan berdekatan tempat kejadian sebelum terhenti sendiri.
Sementara itu, Norhaslili Shafikah ketika ditemui di bilik mayat HGM berkata beliau dan Nor Aina Sofia tercampak ke dalam longkang dan tidak sedarkan diri, setelah sedar, dia cuba memanjat tebing longkang tetapi tidak berjaya sebelum dibantu orang ramai.
“Saya amat sedih melihat rakan saya yang maut dan seorang lagi berada dalam longkang dengan berlumuran darah, kami selalu melalui kawasan itu dan tidak sangka bas merempuh kami,” katanya. – BERNAMA