JIKA anda merupakan peminat setia rancangan realiti terbitan saluran E!, Facing Up To Fazura (FUTF), pastinya anda sudah sedia maklum dengan pendedahan Fazura mengenai kisah cintanya dengan pelakon lelaki popular Shaheizy Sam yang bergandingan dengannya menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Sebelum ini baik kedua-dua selebriti ini tidak pernah mendedahkan hubungan cinta mereka kepada pihak media mahupun kepada peminat mereka sendiri.
Lantas menyebabkan peminat mereka tertanya-tanya sekali gus mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.
Namun, seperti yang diketahui Sam merupakan salah seorang di antara selebriti yang kurang gemar bercerita mengenai kisah peribadinya kepada khalayak ramai.
Memetik laporan sebuah akhbar harian, Sam tidak menafikan atau mengiyakan mengenai perkara tersebut dan berkata memang sudah sifat beliau untuk terus berahsia dalam hal-hal sebegini.
“Saya rasa tidak berminat untuk menjawab tentang perkara ini. Entahlah, saya tidak tahu ingin beri reaksi yang bagaimana kerana saya sendiri pun tidak pasti dengan isu ini.
“Apa yang boleh saya katakan, memang saya seorang yang enggan kongsi kisah peribadi dengan semua orang kerana saya seorang yang perahsia. Saya bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi selagi hubungan itu tidak sampai ke tahap serius iaitu tahap memang itulah wanita yang akan saya nikahi, selagi itu saya tidak kongsi bersama peminat atau sesiapa,” katanya.
Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, namun Sam menjelaskan dia tidak ada sebarang masalah sekiranya digandingkan sekali lagi dengan aktres cantik itu dalam mana-mana produksi drama mahupun filem kerana mereka sememangnya berkawan rapat sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC