RUPANYA masih ramai orang Malaysia terutama yang beragama Islam masih tidak boleh menerima coklat Cadbury yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu berkaitan status halalnya.
Walaupun coklat ini telah mendapat perakuan halal oleh Jakim, tetapi perasaan fobia dan was-was nyata mengambil masa untuk dilenyapkan seratus peratus.
Perkara ini dapat dilihat dengan jelas apabila sebuah gambar yang dimuat turun pada 26 Januari lalu di Facebook Cadbury yang bertajuk ‘Teman-teman Cadbury, bersedialah untuk kongsikan kecerian’ mendapat banyak komen negatif.
Antara komen tersebut termasuklah ‘sekali ada babi…. selamanya tolak Cadbury’ serta ‘aku akan mengharamkan makanan ni dari keluarga’.
Sebenarnya, isu ini telah mencapai titik noktah dilaporkan portal Malaysian Insider, apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa tiada DNA Babi yang dijumpai di dalam contoh (sample) yang diuji.

Namun, antara sebab masyarakat masih lagi meragui produk Cadbury dipercayai kerana kegagalan komunikasi antara pihak berwajib dengan pengguna.
Sepatutnya pihak terlibat antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia, JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan berbincang terlebih dahulu sebelum keputusan berkaitan isu sensitif iaitu soal halal makanan dimaklumkan kepada masyarakat.
Akibat yang ditanggung nyata amat besar sekali apabila jualan produk Cadbury merudum dan persepsi masyarakat terhadap produk tersebut mula berbeza.
Ada yang boleh menerima dengan relahati kenyataan Majlis Fatwa bahawa ‘Coklat Cadbury halal dimakan’ namun untuk menyakinkan satu lagi kelompok yang mengambil keputusan memboikot produk tersebut mungkin perlukan masa yang lama.
Di dalam kolompok manakah anda berada? -MYNEWSHUB.CC
Sumber: Facebook Cadbury Malaysia
Oleh: hzqahmd