KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan segelintir media kerana membuat pelbagai laporan yang dianggap boleh memecahbelahkan rakyat negara ini.
Baginda bertitah, media sepatutnya menjadi saluran untuk menyatupadukan rakyat dan bukan bertindak memecahbelahkan mereka.
“Sekiranya perkara seperti ini berterusan, ianya boleh menjejaskan hubungan rakyat Johor dengan Kerajaan Persekutuan.
“Pihak media sepatutnya menjaga sensitiviti rakyat. Sila jaga tingkah laku anda,” titah baginda dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Titah baginda tidak menyebut tentang bentuk laporan media yang dikatakan boleh menjejaskan hubungan rakyat Johor dengan Kerajaan Persekutuan, namun dipercayai berkaitan dengan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini yang mendakwa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi mangsa kebencian media.
Ia juga berikutan pelbagai laporan negatif oleh pihak media ke atas bola sepak Johor hingga mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat negeri lain terutama penyokong bola sepak dengan rakyat Johor.
Titah baginda itu juga dipercayai berkaitan tindakan sebuah akhbar tabloid menyiarkan gambar lambang kemegahan bola sepak Johor dalam keadaan koyak. -MYNEWSUB.CC