KUALA LUMPUR – Syarikat Bekalan Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menasihati orang ramai supaya segera menjelaskan bil air tertunggak kerana syarikat itu sedang menjalankan operasi bil tertunggak sehingga 31 Januari ini.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred berkata, tindakan pemotongan bekalan air akan dikenakan kepada pengguna yang gagal menjelaskan bil tertunggak sepanjang operasi itu.
“Sekiranya tindakan telah diambil, pengguna akan dikenakan caj pemotongan sebanyak RM35 dan caj penyambungan semula sebanyak RM35 sebelum penyambungan semula dibuat.
“Caj-caj yang dikenakan tersebut bukan denda atau penalti. Caj ini adalah caj tetap perkhidmatan untuk pemotongan dan penyambungan semula bekalan air yang dikenakan Syabas seperti yang diwartakan oleh kerajaan Selangor di bawah Enakmen Pembekalan Air 1997 iaitu Kaedah-kaedah Bekalan Air (Bayaran) Selangor 2006 dan masih diguna pakai sehingga kini.,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Priscilla memberitahu, kawasan yang terlibat dalam operasi bil tertunggak kali ini adalah ibu negara, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.
Katanya, orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL
“Pengguna juga boleh memilih untuk daftar masuk ke laman web Twitter dan Facebook Syabas,” katanya. – mynewshub.cc