MIRI – Lima penumpang berjaya diselamatkan, selepas terbabit dalam insiden pelanggaran dua bot di Ulu Baram, di kawasan pedalaman utara Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang, Dennis Ngau pada pagi Isnin memberitahu The Star Online bahawa berdasarkan maklumat terbaharu mengenai tragedi dekat Long Panai itu, seramai sembilan orang menaiki bot tersebut yang dalam perjalanan dari Long Terawan ke Long Panai pada petang Ahad.
“Daripada sembilan orang yang menaiki bot berkenaan, tiga disahkan maut dalam insiden itu, seorang cedera parah dan lima lagi berjaya diselamatkan oleh penduduk yang tinggal di sepanjang sungai.
“Bot yang berlanggar dengan bot panjang itu adalah milik seorang kontraktor yang bekerja dengan syarikat pembalakan. Bot milik syarikat pembalakang itu menyerupai seperti bot laju.
“Laporan awal mengatakan bot kayu balak itu dinaiki oleh pekerja pembalakan warga Indonesia.
“Pemandu bot itu dikatakan warga Indonesia. Kesemua yang menaiki bot panjang itu adalah penduduk tempatan,” katanya.
Ngau berkata, kesemua mereka yang maut adalah adik beradik, Celine Adries, 12, dan Ethaniel Adires, 11, dan ibu saudara mereka, Marie Lawing, 38.
Penumpang bot yang cedera parah ialah Margaret Dau, 36, yang merupakan kakitangan di sebuah klinik kerajaan dekat Taman Negara Mulu. – mStar Online