KUALA LUMPUR – “Perlu tahu Liga Malaysia bukannya Liga Perdana Inggeris (EPL)”.
Itu peringatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kepada pengendali The Red Warriors, George Boateng.
Beliau membuat peringatan itu kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan pasukan Kelantan sewaktu menentang Kedah pada 26 Januari lalu.
Tegas Annuar, belliau memberitahu Boateng bahawa pasukan Kelantan perlu bermain menyerang dan laju, bukan bermain cantik tetapi tanpa serangan.
“Melihat buat kali pertama (Kelantan) menentang Kedah saya tidak puas hati. TRW bermain tanpa umph!. Main cantik tetapi `No Fire’. Kelantan mesti bermain corak laju dan menyerang. Pemain perlu rajin memberi tekanan dan mendapatkan semula bola dan penguasaan.
“Tanpa penguasaan kita akan tertekan dan sibuk bertahan. Saya dah beritahu Boateng hal ini. Liga Malaysia bukan EPL,” katanya.
Annuar turut merasakan kecewa kerana aura Kelantan masih belum dapat dirasai walaupun Liga Malaysia 2015 semakin hampir ekoran kelewatan pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) membaik pulih Stadium Sultan Muhammad IV yang terjejas akibat banjir.
“Aspek psikologi ini perlu segera diperbaiki segera,” kata beliau,.
Pada perlawanan persabatahan di Stadium Darul Aman itu, Kedah menewaskan Kelantan dengan jaringan 3-1.