KUALA LUMPUR – Jabatan Pertanian mengesan berlaku penjualan tiga produk lingkaran nyamuk tidak berdaftar secara berleluasa di kedai runcit di utara semenanjung Malaysia terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang waktu ini.
Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan memberitahu, tiga produk dari China terbabit adalah Tian Hing Mosquitoes Coil dan Lengen Mocro-Smoke 12 Hours (HY Touba) yang didapati dijual secara terbuka.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan sepanjang September hingga Disember 2014, penguatkuasa Jabatan Pertanian telah merampas sebanyak 11,547 kotak lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar bernilai RM23,094.
“Penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar salah dibawah seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974, manakala mereka yang memiliki atau menggunakan lingkaran nyamuk tidak berdaftar melakukan kesalahan dibawah seksyen 53A(1)(a) di bawah akta yang sama,” kata keyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, terdapat banyak produk lingkaran nyamuk yang berdaftar di pasaran bagi tujuan menghalau atau membunuh nyamuk yang telah dinilai tahap keberkesanan dan selamat untuk digunakan dengan cara penggunaan yang ditetapkan di dalam label.
Manakala, bagi lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar, keberkesanan dan kesesuaian penggunaan serta kesan sampingan ke atas penggunaannya adalah tidak diketahui kerana ia tidak dinilai dan diluluskan.
“Jabatan Pertanian mengharapkan kerjasama orang ramai membanteras penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar ini. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat sila laporkan kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan lanjut” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc