PENANGKAPAN vokalis kumpulan Slam, Zamani nyata mengejutkan sebilangan besar peminat setia penyanyi ini.
Namun begitu, apa yang lebih mengecewakan peminat bilamana anggota polis yang bertugas menahan penyanyi itu mengambil kesempatan mendesak Zamani menyanyikan lagu popularnya, Gerimis Mengundang dalam keadaan tangannya bergari.
Video itu mendapat bantahan orang ramai yang mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap anggota polis yang bertanggungjawab merakam dan menyebarkan video tersebut dengan tujuan menjadikan ia viral.
Ketika kebanyakan media arus perdana cuba menyembunyikan identiti penyanyi yang disyaki terlibat dengan najis dadah ini kerana dia masih belum didakwa di mahkamah, para anggota polis pula sewenang-wenangnya menyiarkan video Zamani dalam keadaan mengaibkan dirinya.
Ekoran penyebaran video ini, satu bantahan menggunakan hashtag #BantahTindakanPolisKpdZamani mendapat sokongan ramai yang beranggapan ia satu tindakan melampau. Mereka menyarankan agar pegawai polis yang merakam dan menyebarkan rakaman itu dikenakan tindakan.
Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 43, ditahan bersama seorang wanita berusia 32 tahun yang turut positif dadah jenis Methaphitamine kira-kira jam 12.30 pagi, Rabu.
Dia ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 & Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -MYNEWSHUB.CC
Video Persembahan Slam, Gerimis MengundangÂÂ
http://youtu.be/ZlElRDjvaO0