TAWAU – Seorang wanita warga emas rentung selepas rumah yang didiaminya di perkampungan atas air di Pangi Hujung, Kunak, dekat sini, musnah dalam kebakaran awal hari ini.
Mayat mangsa, Napsah Araki, 65, ditemui berhampiran pintu keluar rumah berkenaan dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 2.20 pagi.
Mayatnya dihantar ke hospital Kunak untuk bedah siasat.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K. Ramin berkata Balai Bomba dan Penyelamat Kunak menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi dan sepasukan 10 anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 11 minit kemudan.
Kebakaran dapat dikawal pada 2.54 pagi dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih disiasat, katanya dalam kenyataan di sini. – BERNAMA