ALOR GAJAH – Tiga lelaki dipercayai warga asing ditahan kerana mencuri bot nelayan di sekitar Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi semalam.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Abu Bakar Idris berkata dua daripadanya ditahan agensi itu manakala seorang lagi ditangkap sekumpulan nelayan.
Beliau berkata pihaknya terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 3.35 pagi yang tidak mengendahkan arahan berhenti tetapi terus dipecut laju.
“Selepas mengejar lebih kurang 10 minit, bot tersebut berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki yang berada di atasnya tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.
Abu Bakar berkata bot tersebut dilapor hilang di Jeti Nelayan Chuah sejam sebelum tangkapan dibuat.
Tangkapan suspek dipercayai dapat menyelesaikan beberapa kes-kes kecurian di sekitar Port Dickson yang 12 kes dilaporkan tahun lepas, katanya. – BERNAMA