KUALA LUMPUR – Microsoft Corp telah memperkenalkan Windows 10, menandakan permulaan era perkomputeran lebih peribadi di dunia ‘mobile-first’, ‘cloud-first’, di samping meneroka masa depan holografik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Microsoft menyatakan Windows 10 menandakan permulaan era perkomputeran lebih peribadi di mana teknologi lenyap dan orang ramai yang menjadi tumpuan.
“Orang ramai seharusnya mampu berinterkasi secara semula jadi dengan teknologi sebagaimana mereka berinteraksi dengan orang lain, dengan suara, gerak-geri dan pandangan.
“Sebagai paltform perkomputeran holografik pertama dunia, Windows 10 merangkumi satu set antara muka pengaturcaraan penggunaan yang membolehkan pemaju mencipta pengalaman holografik dalam dunia sebenar,” katanya.
Bagi mempamerkan pelbagai kemungkinan hologram dalam Windows 10, Microsoft memperkenalkan Microsoft HoloLens, iaitu komputer holografik tidak bersambung pertama tanpa wayar, telefon atau sambungan kepada komputer peribadi.
Sistem operasi baharu itu juga mengoptimumkan pengalaman untuk kumpulan dengan pengenalan Hab Permukaan, peranti skrin besar baharu bagi membantu kumpulan di tempat kerja berkongsi, membentuk idea dan menciptanya secara bersama. – BERNAMA