DI SAAT berpuluh-puluh ribu mangsa banjir bergelut dengan situasi sukar, masih ada pihak yang terlalu memikirkan kepentingan diri sehingga sanggup menyekat usaha orang lain dalam menghulurkan bantuan.
Menerusi satu laporan polis yang disiarkan Facebook Raja Shamri, seorang sukarelawan mengadu tentang tindakan individu yang mengaku dirinya sebagai Yang Berhormat (YB) di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, YB itu mempersoalkan tujuan kedatangan kumpulan sukarelawan sedangkan mereka datang untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan tersebut.
YB itu kemudiannya memberitahu, si pengadu dan rakan-rakannya tidak mempunyai hak untuk menyalurkan bantuan kecuali melaluinya atau penghulu kampung itu.
Sikap individu tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kumpulan sukarelawan, menyebabkan mereka membuat laporan polis.
Pada hemat kami, YB tersebut mungkin bimbang usahanya untuk mencipta nama menerusi program bantuan kepada penduduk di situ akan terjejas dengan kehadiran ‘orang luar’.
Aduhai…waktu-waktu macam ni pun ada juga yang nak tunjuk perangai ‘gila kuasa’!
Semoga kejadian seumpama ini tidak melemahkan semangat para sukarelawan kita kerana apa yang dinilai oleh-Nya ialah keikhlasan dalam membantu para mangsa. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: ELZA