KUALA LUMPUR – Datuk Seri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam menggantikan Datuk Wira Omar Kaseh yang bersara wajib mulai 9 Januari 2015.
“Pelantikan Ketua Pengarah MAMPU yang baharu itu bermula 9 Januari 2015. Zainal Rahim, 58, mempunyai pengalaman luas selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
“Beliau merupakan anak jati Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia,” kata MAMPU dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Zainal Rahim menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Januari 1984 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam jabatan kerajaan.
Antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Ketua Penolong Pengarah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang. – mynewshub.cc