IPOH – Seramai 15 orang pekerja kontrak warga India dilapor cedera, tiga daripadanya parah apabila bas sekolah yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 36, Jalan Tapah-Cameron Highlands, Tapah pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliaw berkata kejadian berlaku pada pukul 9 pagi ketika bas itu dalam perjalanan dari Tapah menuju Batu 19.
Beliau berkata para pekerja itu yang datang dari Petaling Jaya, Selangor merupakan pekerja kontrak membina menara Tenaga Nasional Berhad.
“Siasatan awal mendapati sebuah kenderaan dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan bas tersebut menyebabkan pemandu bas itu mengelak ke kiri jalan sebelum terbabas,” katanya.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=L1AWbgz8ps4