MUAR – Demi hasrat membuat kerja amal dan minat mengembara, dua beradik dan seorang rakan mereka bertekad ingin mencipta rekod berjalan kaki ke seluruh negara dengan niat untuk membersih masjid-masjid terpilih sepanjang perjalanan mereka itu.
Setelah 28 hari mengembara berjalan kaki yang bermula dari Shah Alam, Selangor hingga ke sini, Anas Aiman Jaffry, 27, adiknya Muhammad Aidil, 24, dan rakan mereka Hizamuddin Aliddin, 25, telahpun mengunjungi serta membersih 19 buah masjid.
Mengikut perancangan, dalam tempoh enam bulan pengembaraan, sebanyak 132 masjid di seluruh negara akan mereka kunjungi bagi tujuan itu.
“Kami berhajat mencipta rekod melalui Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung Malaysia Membersihkan Masjid yang dijangka mengambil masa enam bulan.
“Pengembaraan kami ini berlainan kerana dalam tempoh itu kami akan membersihkan masjid secara sukarela kerana misi kami ini ingin memberitahu masyarakat, masjid adalah milik kita semua kerana ia adalah rumah Allah SWT,” kata Anas Aiman kepada pemberita setibanya mereka di pekan Parit Bakar di sini, hari ini.
Berasal dari Sabak Bernam, Selangor, mereka yang sebelum ini bekerja masing-masing sebagai penyelia stor dan pengawal keselamatan, sanggup meletak jawatan demi untuk merealisasikan hasrat itu.
“Alhamdulillah hasrat kami untuk mengembara sambil membersih masjid mendapat sokongan semua pihak termasuk keluarga dan bekas majikan. Bekas majikan kami pun bersedia untuk menerima kami semula selepas ini,” katanya.
Anas Aiman berkata, mereka memulakan kembara sejak 24 Jan lalu dan telah mengunjungi 19 masjid di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Selepas ini ketiga-tiga pemuda itu akan memasuki Batu Pahat dan Mersing selain ke Pahang, Terengganu, Kelantan sehingga ke negeri di Pantai Barat Semenanjung sebelum mengakhirinya di Shah Alam semula.
Ketika ditanya cabaran yang perlu ditempuhi, beliau menjawab: “mengembara dalam keadaan cuaca yang panas dan menempuh hujan”, namun keadaan itu diharapkan tidak menjejaskan semangat mereka untuk menghabiskan kembara murni itu.
Anas Aiman berkata, apabila tiba di masjid terpilih itu, mereka akan melakukan kerja-kerja amal bermula pukul 8 pagi sehingga waktu Zohor antaranya mencuci tandas, menyapu sampah, membersih halaman dan mengecat bergantung kepada keperluan masjid tersebut.
Menurutnya antara keperluan yang dibawa adalah khemah selain bekalan ubat dan air mencukupi yang dimuatkan ke dalam sebuah troli kecil bagi memastikan kembara itu lancar.
Beliau berkata, sekiranya tidak berjaya menamatkan kembara tersebut pada akhir Jun ini, mereka akan tetap meneruskannya sehingga selesai termasuk bersedia berpuasa dan berhari raya di atas jalan raya.
Katanya mereka bersyukur kerana sepanjang kembara itu, mereka mendapat sambutan baik daripada masyarakat dan kariah masjid dikunjungi dengan menghulurkan makanan serta wang. – BERNAMA