KUALA LUMPUR – Gesaan Menteri Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri supaya pengguna memboikot peniaga Cina bukan satu saranan yang bersifat perkauman sebaliknya sangat tepat bagi menangani kenaikan harga barangan secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Majlis Pemikir Muda (Pemikir), Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed berkata, saranan itu tepat ditujukan kepada pihak yang menyebabkan golongan pengguna mengalami masalah kenaikan harga barangan meskipun kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk menanganinya.
Sehubungan itu, katanya, Pemikir mempertahankan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pertanian Industri Asas Tani tersebut kerana ia antara lain menyelar golongan pemborong dan peniaga yang tamak dengan tidak menurunkan pelbagai harga keperluan dan barangan walaupun kadar harga petrol sudah turun.
“Apa yang jelas selama ini memang kuasa pemborong dan peniaga berada dalam tangan kaum Cina, justeru apa yang dibuat oleh Ismail Sabri sangat tepat kerana beliau tujukan terus kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Isu pedagang dan pembekal barang keperluan yang memang kebanyakkannya dimonopoli kaum Cina ini mesti diselesaikan dengan tegas dan cepat. Ini kerana sehingga sekarang rakyat tidak mendapat manfaat penurunan harga barangan dan keperluan yang sepatutnya dibuat apabila harga petrol turun pada kadar serendah ini.
“ Dalam hal ini tidak ada unsur perkauman. Ini adalah isu pedagang dan pembekal dan memang kebanyakannya adalah bangsa Cina. Adakah usaha mendesak pembekal Cina menurunkan harga barangan mereka itu dianggap perkauman?,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Suleiman berkata, sarangan supaya memboikot peniaga yang tamak satu usaha yang memang perlu dibuat oleh seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat dan pengguna melebihi kepentingan peribadi kerana Ismail Sabri pasti lebih arif risiko yang bakal beliau hadapi dengan membuat kenyataan seperti itu.
Lagipun, jelas beliau, saranan itu pasti membawa manfaat kepada semua pengguna termasuk berketurunan Cina , India dan lain-lain kaum, bukan sahaja kepada kaum Melayu.
“Pemikir berdiri di belakang Ismail Sabri dalam hal ini. Tindakannya bukan membuta tuli. Beliau berani menyatakan kebenaran kerana usaha dan teguran keras yang beliau lakukan adalah untuk manfaat semua rakyat tidak mengira bangsa, agama dan kedudukan,†katanya.