KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna elektrik untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menitikberatkan aspek keselamatan elektrik dalam perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Dalam satu kenyaan hari ini, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, pengguna perlu berhati-hati dan mengamalkan panduan keselamatan perkakas elektrik di kawasan kediaman masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Jauhkan gulungan wayar dari kawasan berair…dan mengawasi serta mengingatkan keluarga atau rakan agar tidak menghampiri kawasan larangan TNB.
“Pengguna dinasihatkan agar mengelak dari membuat sambungan sendiri untuk pelbagai jenis peralatan elektrik dan sebaliknya mendapatkan khidmat kontraktor eletrik berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk melakukan pendawaian tambahan di premis, katanya.
Beliau juga berkata, sebarang kejanggalan dan pencerobohan berkaitan pepasangan TNB perlu dilaporkan dengan segera di talian 15454. – BERNAMA