TAIPEI – Angka kematian nahas pesawat TransAsia Airways yang terhempas di sungai Taipei sejurus berlepas kini meningkat kepada 31 orang, kata pegawai Taiwan.
Katanya, angka itu mungkin bertambah kerana 12 orang masih dilaporkan hilang.
Pesawat TransAsia Flight GE235, yang membawa 58 penumpang dan anak kapal mengalami masalah ketika terbang di antara bangunan, kemudiannya terlanggar lebuh raya bertingkat dan terhempas di dalam sungai sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Taipei semalam.
Pentadbiran Aeronautik Awam Taiwan (CAA) berkata, 15 orang terselamat. Tiga yang berjaya diselamatkan adalah dari kumpulan 31 pelancong dari Tanah Besar China.
CAA berkata, juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat jenis turboprop ATR 72-600 itu adalah antara mereka yang terkorban. – Reuters