TERNYATA kemelut yang melanda vokalis kumpulan Wings, Awie dan isterinya, Rozana Misbun masih belum berkesudahan.
Ia susulan tindakan Rozana yang didakwa Awie telah ‘merompak’ dua anak mereka, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, dari sekolah tanpa memaklumkan kepadanya pada 9 Februari lalu, menurut laporan Berita Harian.
Awie juga mendakwa, Rozana tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah sejak hari itu.
Tambah Awie, dia terkilan kerana Rozana turut membawa polis yang diragui identitinya pada hari kejadian.
Sementara itu, Rozana menyifatkan dakwaan Awie sebagai tidak relevan kerana dia adalah ibu kandung mereka.
“Cuba fikir, macam mana saya mahu memaklumkan kepada dia terlebih dulu kalau setiap kali beritahu mahu ambil anak-anak, mereka akan sepantas kilat dibawa lari.
“Tidak perlu dia canang di media mengenai keraguan terhadap polis berpakaian preman. Rujuk saja Balai Polis Melawati untuk mendapatkan butiran anggota terbabit,” katanya.
Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan memutuskan hak penjagaan tiga anak mereka diserahkan kepada Rozana hingga perintah kekal hak jagaan dikeluarkan.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: Elza