PERHATIAN buat remaja di luar sana yang teruja mahu menggunakan ‘fake braces‘ atau pendakap gigi palsu, anda harus baca artikel ini.
Kononnya mengikut trend dan inginkan kecantikan namun tahukah anda, memakai ‘fake braces‘ mampu mengakibatkan kerosakan pada gigi?
Lebih parah lagi, ia juga mampu mereputkan gigi. Daripada elok-elok boleh kunyah secara normal, terpaksa pula keluarkan duit untuk memiliki gigi palsu. Inilah dipanggil tak ada penyakit, cari penyakit!
Melalui satu entri di laman sosial, seorang doktor gigi berkata, penggunaan pendakap gigi palsu boleh mendatangkan mudarat buat si pemakai jika ia tidak dipasang dengan betul.
Contoh kesan rawatan fake braces adalah gigi bergerak tidak terkawal, goyang dan akhirnya terpaksa dicabut.
Bukan itu sahaja, logam yang digunakan sebagai ‘pengikat’ gigi juga sebenarnya mampu membuat gigi si pemakai reput dan rosak kerana ia menggunakan bahan tidak berkualiti.
Kalau anda nak tahu, walaupun ia hanya pendakap gigi palsu tetapi cara pemakaiannya tetap sukar dan menyakitkan kerana ia mencengkam gigi si pemakai.
Justeru ia merisikokan kedudukan gigi kerana cengkamannya mungkin berada di kedudukan tidak sepatutnya dan akan menolak gigi yang normal untuk beralih ke kedudukan lain.
Bukan itu sahaja, dalam satu program diskusi tentang trend pemakaian fake braces dalam kalangan remaja Asia, pengacaranya memaklumkan dua orang telah menemui ajal (setakat 2013) akibat tertelan pendakap gigi tersebut ketika sedang tidur.
Secara logiknya, penggunaan pendakap gigi bertujuan untuk membetulkan struktur gigi kerana kedudukannya yang tak selari. Jadi buat yang memiliki gigi normal, lupakan sajalah niat untuk mencuba alat berkenaan.
Mungkin bagi sesetengah individu ia akan membuatkan mereka rasa bertambah comel, tetapi tak perlulah rasanya sampai memudaratkan kesihatan kan?
Kalau silap gayanya, muda-muda lagi dah hilang gigi! -MYNEWSHUB.CC