MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang kemalangan di KM201.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata Muhammad Anas Nazhan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya dalam kejadian 5.50 petang itu.
Ibu bayi itu, Norhayati Md Isa, 30, juga cedera parah manakala bapanya, Shamsul Azwan Abu bakar, 29, cedera ringan.
“Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu Shamsul Azwan dari arah Melaka ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Difahamkan tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di ibu kota selepas menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina dengan melawat tempat bersejarah di sekitar Melaka.
Bapa saudara Shamsul Azwan, Rahmat Abu Bakar, 34, berkata, pada pagi kejadian anak saudaranya mempelawa dia turut serta bercuti ke Melaka bersama keluarga lain, namun terpaksa dibatalkan.
Menurutnya, arwah Muhamad Anas begitu rapat dan manja dengannya kerana cucu pertama dalam keluarga.
“Lima minit sebelum kemalangan, ibunya sempat mengirim sekeping gambar arwah tidak berbaju dalam kereta,†katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Alor Gajah, di sini, kelmarin.
Dia berkata, mereka sekeluarga bimbangkan keadaan Norhayati kerana dia hamil anak kedua namun bersyukur selepas pihak hospital memaklumkan dia selamat dan stabil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kemalangan itu menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan.
“Difahamkan, mangsa cedera di kepala selepas kereta dipandu bapanya terbabas dan terbalik sebelum menghempap tubuh mangsa dan ibunya yang tercampak keluar.
“Anggota Skuad Penyelamat Integrasi (SPI) Ayer Keroh dan anggota perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
“Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Ibu mangsa parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan selanjutnya manakala bapa mangsa hanya cedera ringan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,†katanya.