KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dipercayai bekas komander kumpulan pengganas dari Timur Tengah, di ibu negara minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman dalam satu operasi pada 31 Jan, katanya.
Beliau berkata suspek itu mula menyertai kumpulan penganas di Syria pada Mei 2012 hingga Mei 2014 dan pernah memasuki beberapa buah negara Timur Tengah, utara Afrika dan beberapa negara Asia Tenggara sebelum masuk ke Malaysia pada pertengahan Januari lepas.
“Suspek dipercayai bekas komander sebuah kumpulan penganas dan nama suspek disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki oleh pihak keselamatan sebuah negara di Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen 1956/63 kerana disyaki menguna pasport palsu dan telah diusir balik ke negara asalnya semalam.
Beliau berkata polis memandang serius aktiviti pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai transit, tempat perlindungan dan pangkalan operasi mereka.
“Kejayaan operasi ini dicapai hasil kerjasama erat antara PDRM dengan agensi penguatkuasaan asing dan ia akan diteruskan bagi tujuan membanteras dan menangani ancaman keganasan sama ada di peringkat serantau ataupun global,” katanya. – BERNAMA