(Petikan: Free Malaysia Today)
PETALING JAYA: Rang-undang-undang Hudud yang bakal dibentang oleh kerajaan negeri PAS Kelantan pada sidang DUN negeri itu 18 Mac nanti tidak mempunyai sokongan Pakatan Rakyat.
Ini kerana undang-undang Hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah pembentangan rang undang-undang itu juga bertentangan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan baru-baru ini.
Demikian kata Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dalam kenyataannya, sambil menegaskan bahawa kedegilan kerajaan PAS Kelantan meneruskan pembentangan tersebut mengisyaratkan bahawa PAS tidak lagi akan dilihat sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat, lapor Roketkini.com.
“Saya menyeru PAS untuk menunjukkan komitmen kepada Pakatan Rakyat.
“PAS mesti menghormati Dasar Bersama Pakatan Rakyat, ia juga mesti menghormati keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan,†tegas Ketua Biro Undang-undang DAP itu.
Menurutnya, tindakan PAS meneruskan rancangan membentang rang undang-undang tersebut adalah langkah serangan terbuka terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
“Jika demikian, pimpinan PAS di belakang langkah tersebut mesti berani mengaku bahawa mereka menolak PAS untuk bercerai dengan Pakatan,†ujar Gobind.
Malah katanya, ini juga menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti PAS yang sebelum ini mahu dilihat sebagai parti yang fokus terhadap usaha mengukuhkan Pakatan Rakyat.
Mengulas amaran PAS supaya DAP tidak masuk campur dalam urusan Kelantan, Gobind berkata selagi PAS masih di dalam Pakatan, DAP berhak menegur PAS.
“DAP bukan sahaja berhak malah bertanggungjawab memastikan PAS bertindak selari dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat,†tegasnya.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam dilaporkan berkata bahawa DUN dijangka membincangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dalam persidangan pada 16 hingga 19 Mac akan datang.