KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang baik dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh jika ia diadakan, menurut Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.
Katanya ini berdasarkan prestasi BN di kawasan itu dalam dua pilihan raya umum lepas yang menunjukkan parti itu berjaya meraih sokongan daripada pengundi.
“Berbanding keputusan 2008, keputusan pilihan raya umum 2013 kami dapati jumlah undi majoriti (untuk PKR) adalah lebih rendah. Ini menunjukkan trend penerimaan terhadap BN bertambah baik dan saya pasti dalam pilihan raya kecil ini kita mampu catat prestasi lebih baik,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.
Pada pilihan raya umum 2008, PKR memenangi kerusi Permatang Pauh dengan majoriti 13,398 undi manakala pada 2013, majoriti berkurangan kepada 11,721 undi.
Mah berkata walaupun PKR boleh meraih undi simpati di Permatang Pauh, Gerakan bagaimanapun, berasa optimis bahawa BN akan memberi tentangan sengit di kawasan itu.
Hukuman penjara lima tahun ke atas Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesalahan liwat boleh menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai anggota parlimen Permatang Pauh dan kemungkinan pilihan raya kecil diadakan.
Mah berkata Gerakan telah mula menggerakkan jenteranya termasuk mendapatkan maklum balas daripada pengundi di Permatang Pauh.
“Kami akan turun habis-habisan selepas Tahun Baharu Cina… malah kami telah menerima banyak laporan daripada jentera Gerakan di Pulau Pinang yang menunjukkan bahawa terdapat banyak isu tempatan yang perlu ditangani. Saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada BN kali ini,” katanya.
Mengenai pilihan raya kecil DUN Chempaka di Kelantan, beliau berpendapat BN harus fokus kepada usaha pasca banjir di negeri itu dan bukannya bertanding dalam pilihan raya kecil yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 22 Mac bagi hari mengundi. Penamaan calon ialah pada 10 Mac manakala pengundian awal ialah pada 18 Mac. – BERNAMA