KUALA LIPIS – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun rentung dalam kebakaran di Kampung Jeram Batu, dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dikenali Nur Ain Nadirah Roslan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata ketika kejadian mangsa tidur bersama dua lagi kakaknya iaitu Rozitah, 13, dan Nur Masitah, 10, di sebuah bilik.
“Rozitah sempat menyelamatkan diri manakala Nur Masitah sempat ditarik keluar ibu mereka (Noraini Sulaiman), ibu mereka kemudiannya cuba menarik keluar mangsa tetapi gagal selepas terperangkap pada kayu jatuh.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga untuk dikebumikan.
“Nur Masitah turut dirawat di hospital sama akibat terbakar separuh badan,” katanya di sini, sebentar tadi. – BH Online