KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut DAP, Lim Lip Eng mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyiasat portal berita Malaysiakini berhubung laporan temuramah dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar.
Beliau mendakwa, siasatan ke atas Malaysiakini wajar dilakukan memandangkan Khalid menyatakan bahawa laporan polis yang dibuat olehnya semalam berasaskan khabar angin yang tersebar dalam media.
“Saya juga menggesa Khalid menulis surat kepada pihak berkuasa Australia untuk mengesahkan atau menafikan bahawa Sirul telah diwawancara oleh Malayskini dan segala yang dilaporkan oleh portal berita itu benar belaka.
“Inilah cara terbaik untuk memperjelaskan soal khabar angin tadi. Periksa terus dengan orang-orang yang terlibat dalam wawancara tersebut,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Khalid semalam menjelaskan polis memerlukan cukup bukti untuk memulakan sesuatu siasatan seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 110(1)(b) Kanun Acara Jenayah.
Ketua Polis Negara turut beranggapan laporan polis yang dibuat oleh Lip Eng berasaskan khabar angin di media.
Lip Eng membuat laporan polis berhubung beberapa dakwaan Sirul seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya berdasarkan temuramah dengan bekas anggota UTK tersebut. – mynewshub.cc