Semalam, heboh diperkatakan mengenai penahanan aktivis Adam Adli kerana memberi ucapan dalam perhimpunan haram ‘Kita Lawan’ di hadapan pusat membeli-belah Sogo.
Perhimpunan itu merupakan tanda solidariti untuk menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
(BACA: Ucapan Di Perhimpunan Anwar, Adam Adli Ditahan Lagi)
Ternyata, ada insan-insan lain yang turut menerima kesan akibat tindakan Adam Adli dan para penyokong perhimpunan yang kerap berkumpul di kawasan pusat membeli-belah itu.
Mereka adalah kumpulan penyanyi jalanan atau buskers yang selama ini menjadikan pusat membeli-belah itu sebagai lokasi ‘cari makan’ dengan membuat persembahan di situ.
Salah seorang anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy meluahkan kebimbangannya mengenai perhimpunan seumpama itu menerusi laporan Astro Awani.
Katanya, Sogo sepatutnya menjadi tempat untuk orang ramai membeli-belah dan bukannya untuk perhimpunan bantahan.
“Janganlah ganggu tempat orang ramai ini dan buskers lain mencari rezeki dari pagi sehingga malam di sekitar lokasi. Jangan timbulkan kontroversi di tempat tumpuan awam.
“Tidak elok jika diadakan perhimpunan di sana. Orang hendak membeli-belah dan bergembira, bukan kecoh-kecoh seperti yang dilakukan mereka,” katanya.
Ada benarnya apa yang dikatakan oleh anggota buskers itu kerana sedikit-sebanyak perhimpunan seumpama ini akan menyebabkan orang ramai takut untuk datang ke situ.
Apa gunanya perjuangan menuntut keadilan jika para penyokong seperti Adam Adli sendiri tidak bersikap adil terhadap orang lain yang mahu mencari rezeki untuk keluarga mereka?
Saranan kami, sudah-sudahlah buat perhimpunan haram tu.
Rasanya, banyak lagi kerja berfaedah lain yang boleh dibuat daripada terpekik-pekik di khalayak ramai begitu… – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=veRRBlf36d4
Oleh: Elza