KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meminta setiap kerajaan negeri dan operator air memantau rapi tahap sumber air di empangan dan sungai di kawasan masing-masing walaupun Jabatan Meteorologi memaklumkan fenomena cuaca panas dan kering memang berlaku setiap awal tahun sehingga akhir bulan Mac.
Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kasim berkata, kerajaan negeri dan operasi air perlu memantau sama ada empangan atau sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji-loji rawatan air masing-masing adalah mencukupi.
“Ini kerana kerajaan negeri bertanggungjawab untuk memastikan sumber air di negeri masing-masing mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air.
“Selain daripada sumber air di empangan dan sungai, kerajaan negeri juga diminta mengkaji sumber alternatif seperti air bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah sumber. Kerajaan negeri juga disarankan mengkaji untuk melaksanakan pembenihan awan dengan bantuan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail berkata, kerajaan negeri lain wajar mencontohi langkah kerajaan Selangor melalui badan kawal selia sumber air iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Menurutnya, LUAS telah bersiap sedia dengan kolam-kolam takungan air di sekitar Bestari Jaya dan mula mengepam air daripada kolam-kolam tersebut ke Sungai Selangor apabila paras sungai menjadi rendah untuk dirawat di loji-loji rawatan air utama.
Jelasnya, nelalui cara itu, paras di Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi dapat dikawal supaya tidak merosot dengan mendadak dan dalam masa sama, kerajaan Selangor turut memulakan usaha pembenihan awan.
“Pengguna-pengguna juga dinasihatkan supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama,” katanya.