KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat malam tadi mengeluarkan resolusi mengecam Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kerana mengkritik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia kelmarin.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, DAP turut mengecam Presiden Perkasa itu kerana melakukan `serangan’ tercela dan keji ke atas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar yang kini dipenjara Sungai Buloh.
“DAP dengan tegas mengecam Presiden Perkasa di atas serangan tercela dan keji terhadap Anwar dan Nik Aziz di saat kedua-dua tidak lagi boleh menjawab dan mempertahankan diri.
“DAP menitipkan belasungkawa buat anggota keluarga, organisasi parti dan ahli PAS atas pemergian mantan Menteri Besar Kelantan pada 12 Februari 2014. DAP menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Pembangkang dalam mendepani hukuman lima tahun penjara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Melalui laman sosial Facebook Ibrahim semalam berkata, pemergian Nik Abdul Aziz bukanlah sesuatu yang mengejutkan andai mengambil kira faktor umur dan tahap kesihatan pemimpin tersebut sejak kebelakangan ini.
Namun, semakin sinikal dalam ayat-ayatnya apabila Ibrahim menulis, “Rakyat Kelantan ramai menyanjungnya kerana beliau dikatakan ulamak dan digelar tok guru, walaupun beliau tidak banyak membangun kemajuan rakyat dan negeri Kelantan.
“Malah kemajuan Islam di Kelantan tidak ke mana dan hukum hudud gagal dilaksanakan semasa hayatnya walaupun menjadi MB Kelantan lebih 20 tahun,†kata Ibrahim.