KUALA LUMPUR – “DAP sebuah parti pembangkang yang tidak menyumbang sedikit pun terhadap pembangunan negara,” tegas Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad.
Tegas beliau, DAP juga sebuah parti yang langsung tidak menyumbang kepada pembentukan masyarakat harmoni kerana cuba mengambil kesempatan daripada isu kenyataan kontroversi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Seperti diduga, DAP mengambil kesempatan daripada kenyataan Ismail Sabri dan terus melabelkan beliau sebagai rasis. Usah diperdebat pendirian DAP kerana umum tahu betapa rasisnya mereka yang gemar menampal label itu kepada orang Melayu.
“Bila berlaku sebaliknya, bila ada bukan Melayu menghina Melayu atau Islam, DAP tidak akan melenting dan melabelkan mereka itu rasis atau menghasut. Sebagai contoh kontroversi yang dicetuskan Eric Poulsen. Tiada seorang pun pemimpin DAP melenting dan menyalahkan Eric. Inilah hakikatnya perangai DAP,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hasan dalam pada itu menyelar segelintir pemimpin MCA dan Gerakan selaku parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana terjebak atau bersepakat dengan `mainan’ DAP tersebut malah `melatah’ lebih teruk daripada DAP dalam isu berkenaan.
Justeru, beliau mempersoalkan motif pimpinan MCA dan Gerakan bersikap demikian untuk mengambil kesempatan bagi meraih populariti dalam kalangan masyarakat Cina supaya kembali menyokong mereka.
“Jika itu motifnya dan bukan isu yang ditimbulkan oleh Ismail Sabri yang menjadi persoalan untuk dipertikaikan, MPM ingin mentertawakan MCA dan Gerakan kerana mereka lupa harga diri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta MCA dan Gerakan sedar bahawa kemenangan beberapa calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 bukan kerana undi kaum Cina tetapi kerana undi orang Melayu yang mahu mengekalkan komposisi kepimpinan negara ini.
“Jangan hendaknya MCA dan Gerakan terperangkap dengan budaya politik yang menjadi darah daging DAP dan terjebak dalam jerat media sosial yang ganas yang akan menjadikan MCA dan Gerakan sebagai parti politik ibarat ‘menyusukan kera di hutan…..’ atau ibarat ‘dagang lalu nasi ditanakkan…,” katanya. – mynewshub.cc