Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang petang ini mengeluarkan satu kenyataan khas yang membayangkan para penyokong parti berkenaan tidak perlu hadir dalam perhimpunan solidariti terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, esok.
Abdul Hadi berkata, ahli PAS yang hadir menyertai perhimpunan di Mahkamah Persekutuan esok adalah atas dasar peribadi dan bukan menzahirkan pendirian rasmi parti itu.
Katanya, PAS adalah sebuah parti yang mempunyai hierarki pentadbiran yang jelas dipilih secara adil dan saksama bersandarkan kepada Perlembagaan PAS.
“Maka, atas dasar itulah, sebarang ulasan dan komen yang bersifat rasmi mestilah menerusi mesyuarat yang sah dan diperakui oleh Perlembagaan parti.
MENARIK – Terima Apa Sahaja Keputusan Mahkamah Esok – Tun Dr Mahathir
“Sehubungan dengan itu, sebarang seruan untuk menyertai demo solidariti menyokong Anwar adalah semata-mata bersifat peribadi dari segelintir pemimpin PAS dan bukanlah pendirian atau seruan rasmi PAS,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Hadi berkata PAS tidak pernah menyeru atau mengajak mana-mana ahlinya untuk menyertai demonstrasi tersebut yang pada anggapan kami bukanlah perkara ma’aruf (baik).
“PAS penuh yakin dan percaya kepada keadilan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman terhadap jenayah tersebut dan perbuatan menyertai demonstrasi itu bukanlah satu pendirian rasmi PAS,” katanya.
Esok, sudah diketahui akan ada perhimpunan di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya untuk menyokong Anwar yang akan menghadiri prosiding akhir keputusan Mahkamah Persekutuan untuk dakwaan kes liwat II melibatkannya.
Mahkamah akan membuat keputusan bagi rayuan pembelaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan Mac tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
– MYNEWSHUB.CC
Perhimpunan Penyokong Anwar Di Mahkamah Persekutuan Pada Oktober 2014
http://youtu.be/jQv0gbqS2XA