LABUAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Labuan merancang mengadakan dialog dengan pengguna, peniaga dan peraih berhubung harga produk perikanan yang masih tinggi di wilayah persekutuan ini.
“Kami merasakan kami perlu mengadakan dialog seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak terutamanya antara pengguna dengan peniaga dan peraih,” kata pemangku Pengarah KPDNKK Labuan Aslani Dabi.
Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan KPDNKK Labuan mendapati produk perikanan yang dijual di pasar basah Labuan adalah 20 hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding pasar-pasar lain di negara ini.
Sebagai contoh, katanya, bawal hitam dijual RM22 sekilogram; cencaru (RM11 sekilogram); jenahak (RM24 sekilogram); kerapu (RM22 sekilogram); ikan sardin (RM21 sekilogram); ketam (RM18 sekilogram) dan udang (RM27 sekilogram).
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Labuan Dzukifli Mad Ali berkata harga-harga ikan yang tidak stabil juga berpunca daripada bekalan yang kurang berbanding permintaan.
“Harga ikan dijangka naik berikutan kekurangan bekalan kerana nelayan tidak ke laut disebabkan faktor cuaca tidak menentu,” katanya kepada Bernama.
Seorang peniaga ikan, yang dikenali sebagai Yussof, 44, berkata kenaikan harga ikan bukan diputuskan peniaga tetapi oleh peraih dan nelayan.- BERNAMA