PENASIHAT DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham membuat  laporan polis terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak sebentar tadi.
Ngeh membuat laporan tersebut ekoran dituduh memiliki pegangan dalam rangkaian Kopitiam Old Town White Coffee dalam entri yang dimuatnaik Ismail Sabri dalam laman Facebook beliau, Isnin lalu.
Tulisan itu berbunyi, “Lihat saja Old Town White Coffee diragui baru-baru ini. But still orang Melayu gagal untuk boikot. Lebih-lebih lagi ownernya dikatakan Ngeh family DAP Perak yang terkenal anti Islam.”
[BERKAITAN: Saya Tak Tuju Kepada Semua Peniaga Cina]
Susulan itu portal The Malaysian Insider melaporkan pada Isnin, Ngeh menggesa agar Ismail Sabri membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam atau beliau akan membuat laporan polis.
“Tidak benar sama sekali beliau menuduh saya anti Islam dan mempunyai pegangan dalam Old Town White Coffee. Saya tidak pernah, dalam seumur hidup saya ada pegangan dalam Old Town White Coffee,” nafi Ngeh.
Sementara itu, Ismail Sabri memutuskan untuk tidak memohon maaf kepada Ngeh kerana berpandangan, status berkenaan tidak ditujukan kepada Ahli Parlimen Beruas itu.
“Ngeh… Dia seorang sahajakah di Perak? Saya tidak sebut Ngeh Koo Ham. Saya sebut ‘dikatakan’,” ujar beliau kepada portal politik berkenaan menerusi aplikasi Whatsapp apabila diminta komen balas.
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
Rakaman Video DAP Perak Yang Rasis
https://www.youtube.com/watch?v=4hmj6N_ii1M