KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia yang bekerja di sebuah pusat sauna tanpa lesen telah ditahan Jabatan Imigresen menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri ke-9, semalam.
Wanita tersebut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Proses penahanannya mengalami sedikit kerumitan berikutan wanita tersebut mula membuat drama air mata meminta dirinya dilepaskan oleh pihak berkuasa.
Namun, drama itu tidak berpanjangan apabila majikan wanita tersebut tampil untuk memujuk pekerjanya agar mengikut arahan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa.
“Jangan risau, nanti kami akan ambil awak balik, sudah-sudah jangan menangis,” ujar pemiliknya yang cuba menenangkan wanita tersebut.
https://www.youtube.com/watch?v=PxP5x1gtuIg
Pemilik kepada premis sauna tersebut juga dikenakan saman kerana melanggar syarat di bawah Undang-Undang Kecil Establisment Kecantikan dan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2003.
Notis amaran dan surat tunjuk sebab yang disertakan kompaun telah dikenakan kepada pemilik pusat sauna yang melanggar syarat lesen rumah urut yang diluluskan.
Di antaranya ialah keadaan bilik sauna yang gagal mematuhi syarat utama lesen iaitu bilik urut hanyalah dipasang tirai bukannya binaan tetap seperti dinding yang diperbuat dari patisyen.
Dalam Ops BAH 9 yang bermula jam 4.00 petang dan berakhir jam 7.00 malam itu, empat premis digeledah dan berjaya menahan 6 pekerja yang gagal menunjukkan dokumen yang sah serta penahanan seorang majikan kerana menggajikan pekerja tanpa permit dan dokumen perjalanan yang sah. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: HZQAHMD
Photo/Video: RIZA RAZAK