INGATKAN di China sahaja banyak kes kemalangan palsu dilaporkan, rupa-rupanya di Malaysia pun kes sebegini dah mula menular.
Baru-baru ini, penduduk di Guar Chempedak, Kedah menjadi ‘bingung’ melihat gelagat seorang lelaki yang berpura-pura pengsan dalam satu kemalangan yang sengaja dicetuskan sendiri olehnya dengan sebuah kereta.
Gara-gara kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang Sabtu lalu itu, pengguna jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan hampir 30 minit selepas perjalanan mereka terhalang akibat tindakan lelaki terbabit.
Memetik laporan Harian Metro, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hanim, 34, memberitahu sebelum kejadian, dia melihat lelaki itu berlegar-legar di tepi jalan raya sebelum melompat ke arah sebuah kereta yang kebetulan melepasi lampu isyarat dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani.
“Pada mulanya, saya lihat lelaki itu bangun semula dan berjalan ke tepi jalan, namun selepas dia melihat kereta itu berhenti, dia segera kembali ke tengah jalan dan berbaring semula,” katanya.
Dilaporkan pemandu kereta terbabit yang juga seorang wanita sempat mengelak daripada melanggarnya namun lelaki itu dilihat tetap mahu berpura-pura pengsan dan terbaring tak bergerak di atas jalan raya.
Bagaimanapun, motif sebenar lelaki tersebut bertindak demikian sama ada untuk tujuan menuntut pampasan insuran, gantirugi daripada pemandu atau  sekadar gilakan perhatian orang, tidak dapat kami dipastikan.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=hnd8Izdxfyk