DUA letupan berpunca daripada bom paip menggemparkan penggunjung di sebuah pusat beli belah mewah di Bangkok, pada Ahad.
Menurut laporan The Bangkok Post, letupan tersebut hanya menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang lelaki tempatan.
Kejadian kira-kira jam 8 malam itu adalah yang pertama berlaku di ibu negara Thailand, sejak rampasan kuasa tentera pada Mei tahun lalu.
Siasatan mendapati, letupan berpunca daripada dua bom buatan sendiri yang disembunyikan di belakang transformer kuasa di laluan pejalan kaki antara Stesen Siam BTS (Bangkok Mass Transit System) dan pusat beli-belah Siam Paragon.
“Bom buatan sendiri itu diletupkan guna sebuah jam digital. Ia diisi bahan ledak dan paku,†kata jurucakap Polis Diraja Thailand, Leftenan Jeneral Prawut Thawonrsiri.
Motif serangan dipercayai bertujuan mencetuskan panik, bukannya untuk membunuh.
Jelasnya, polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap dua suspek lelaki yang dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV). -MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzqahmd
https://www.youtube.com/watch?v=4vxrjLY1gT4