NAMPAKYA episod kontroversi membabitkan kes pembunuhan berprofil tinggi model Mongolia, Altantuya Shaariibuu belum berakhir dan akan berlarutan untuk beberapa ketika lagi.
Terbaharu, Sirul dikhabarkan telah melantik peguam tempatan (Australia) bagi mengekang usaha kerajaan untuk mengekstradisinya pulang ke Malaysia bagi menjalani hukuman mati.
“Akan ada perkembangan menarik tetapi saya belum boleh dedahkan sehingga kita selesai beberapa perkara,” ujar peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dua Peguam Sirul Kini Di Sydney, Cuba Dapat Pembebasan]
Dalam perkembangan lain, menurut Kamarul, Sirul tidak ditahan kerana melanggar undang-undang imigresen Australia.
Memetik kenyataannya di portal The Malaysian Insider, “Sebenarnya Sirul tidak lari daripada sebarang undang-undang Australia. Dia hanya ditahan di pusat imigresen susulan notis merah yang dikeluarkan Interpol.”
Sebelum ini, banyak pihak beranggapan Sirul ditahan kerana visa miliknya telah tamat tempoh.
Jelas Kamarul lagi, berikutan notis merah tersebut, pihak berkuasa Imigresen Australia menahan Sirul sehingga tindakan selanjutnya dari Malaysia.
“Bagaimanapun, Sirul tidak boleh ditahan untuk tempoh yang tidak pasti. Dia perlu memohon visa perlindungan untuk kekal di Australia dan berjuang sebarang pertikaian mahkamah di sana,” katanya.
Sirul dikhabarkan memiliki visa yang sah ketika ditahan, namun dipercayai telah tamat tempoh sekarang.
13 Januari lalu mahkamah telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap bekas koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri atas kesalahan membunuh.
Namun, Sirul tidak hadir pada pendengaran tersebut kerana berada di Australia sejak Oktober tahun lalu.
Dia dipercayai berada di sana kerana mengetahui undang-undang Australia melarang pesalah yang bakal dikenakan hukuman mati diekstradisi ke negara asalnya.
-MYNEWSHUB.CC
Astro Awani – Malaysia Mungkin Bawa Kes Sirul Ke Mahkamah Australia