BEKAS vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 34 mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri.
Mengimbas kembali kejadian, pelantun lagu Jesnita ini ditahan kira-kira jam 1.30 petang di kawasan tempat letak kenderaan di Kompleks Selayang Mall selepas pihak berkuasa menerima aduan orang ramai.
Ezad yang ditahan di dalam kereta oleh Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gombak turut menemui sepaket kecil lut sinar yang disyaki syabu.
Malah, ketika ujian saringan air kencing, Ezad disahkan positif menggunakan dadah.
Sementara itu, mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pada 10 Februari ini.
Ekoran kesalahannya itu, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan rotan jika sabit kesalahan. – MYNEWSHUB.CC
Video Pengakuan Menyesal Ezad Lazim Tentang Dadah
https://www.youtube.com/watch?v=emtwgH5CtoI