PELAKON kacak, Fahrin Ahmad mengatakan dia sudah memasang niat untuk menunaikan haji selepas mendirikan rumah tangga kelak.
Ini kerana aktor ini sudah pun enam kali mengerjakan umrah dan akan sekali lagi ke sana pada Mac ini sehingga membuatkan ramai pihak bertanyakan kenapa dia tidak terus mengerjakan haji.
“Ramai juga yang bertanyakan kenapa saya tidak tunai haji terus. Sejujurnya saya berniat untuk tunai haji selepas kahwin tetapi bila nak kahwin tu, saya tidak tahu lagi.
“Memang saya ada usaha untuk mencari tapi di usia saya 36 tahun ini, saya dah tiada masa untuk pergi keluar dating.
“Kalau boleh perkenalan itu hanyalah dalam masa yang singkat dan terus kahwin. Bagi saya dating dan proses perkenalan itu sangat membazir masa dan mengarut,” katanya memetik Mangga Online.
Mungkin Fahrin sudah memasang niat nak tunaikan haji bersama pasangan hidupnya kelak, mana tahu kan mungkin impian Fahrin bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat ni.
Sementara itu, walaupun wajah Fahrin kini jarang menghiasi kaca televisyen, namun tawaran untuk pelakon ini masih lagi laku terutama sekali apabila melibatkan jemputan ke majlis-majlis korporat. – MYNEWSHUB.CC