KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menipu pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berhubung keputusan meminda tarikh perlawanan tertentu bagi pasukan Pahang dan JDT dalam Piala FA musim ini.
Titah baginda, FAM baru-baru ini menolak permohonan JDT untuk meminda tarikh perlawanan, tetapi permohonan Pahang untuk menundakan perlawanan diluluskan dengan alasan pasukan itu tidak dapat beli tiket untuk pulang ke Malaysia pada 26 Februari ini selepas menyertai kejohanan AFC di Myanmar.
“Saya telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Afandi Hamzah (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM) yang pasukan Pahang akan tiba di Malaysia pada 27 Februari 2015, tetapi kami mempunyai bukti yang pasukan Pahang telah tiba di Malaysia pada 26 Februari 2015.
“Pasukan Pahang tiba di Malaysia pada 26 Februari 2015, jadi saya tidak faham mengapa tarikh perlawanan Piala FA antara JDT dan Pahang perlu ditunda ke 2 Mac 2015.
“Mengapa ada dua standard berbeza untuk lain-lain pasukan. Adakah FAM menipu JDT atau Pahang yang menipu badan induk FAM?” titah baginda.
Afandi sebelum ini memberitahu, FAM meluluskan permohonan Pahang untuk menunda tarikh perlawanan kerana skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu hanya akan tiba dari Mandalay, MyanÂÂmar ke Kuantan pada 27 Februari, kurang 48 jam sebelum menentang JDT dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA.
Tegas Afandi, Pahang telah cuba sedaya upaya mendapatkan tiket penerbangan lebih awal, iaitu sebaik sahaja aksi dengan kelab Yanadarbon berakhir pada 25 Februari tetapi gagal dan hanya dapat tiba di Malaysia pada 27 Februari 2015.
Titah Tunku Ismail, baginda tidak bertujuan mahu menimbulkan perbalahan dengan membangkitkan hal tersebut sebaliknya hanya mahu FAM bertindak adil kepada semua pasukan.
“Saya tidak ada masalah dengan pasukan Pahang atau mana-mana pasukan di negara ini. Saya cuma mahukan badan induk berlaku adil dan konsisten kepada semua pasukan di Malaysia.,” titah baginda.
Baginda turut membandingkan keputusan FAM menolak permohonan pasukan Kelantan pada 10 April 2013 untuk menangguhkan perlawanan Liga Super kerana baru lepas beraksi di Vietnam sedangkan Pahang yang melalui situasi serupa musim ini diberi kelebihan menunda tarikh perlawanan.
- MYNEWSHUB.CC