GEORGE TOWN – Orang ramai boleh memanfaatkan cuti Tahun Baru Cina dengan cuba terbang di udara sempena Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang di Padang Polo di sini yang bermula esok.
Pengurus Besar Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan berkata, sebanyak tiga belon ditambat disediakan untuk pengunjung dengan empat sesi penerbangan diadakan dalam tempoh dua hari acara itu berlangsung.
“Kami menjangkakan setiap belon dapat mengendalikan 60 pelawat bagi setiap sesi, bayaran RM25 seorang dikenakan tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya selepas pelancaran sesi penerbangan khas di sini, hari ini.
Kira-kira 100 wakil media, pekerja syarikat penaja dan penyokong acara itu diberi peluang untuk merasa terapung setinggi 12 meter dalam pelepasan belon udara panas seawal 7.30 pagi.
Beliau berkata, ia menampilkan 15 belon udara panas dengan tiga daripadanya mempunyai reka bentuk istimewa iaitu ‘Trump’, ‘Darth Vader’ dan ‘Humpty Dumpty’ dan mendapat penyertaan luar dari United Kingdom, Belgium, Korea Selatan, Filipina dan Amerika Syarikat. – BERNAMA