LONDON – Kerjaya Darren Fletcher selama 15 tahun bersama Manchester United berakhir pada ketika West Bromwich Albion mengumumkan bahawa mereka sudah mengikat kontrak bersama kapten Scotland itu tanpa sebarang yuran perpindahan.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu mula menyertai United ketika menjadi pelatih dan membuat sebanyak 342 kemunculan serta menjaringkan 24 gol.
Bagaimanapun selepas tidak menjadi pilihan utama di bawah pengurus baharu United, Louis van Gaal, dia mengikat kontrak bersama West Brom untuk dua tahun setengah dengan pilihan untuk tambahan pada tahun berikutnya.
“Albion amat gembira untuk mengalu-alukan kehadiran Darren Fletcher. Pemain baharu dengan jersi nombor 24 ikat kontrak selama 2.5 tahun dengan pilihan lanjutan selama 12 bulan,” kata West Brom dalam laman web rasmi mereka.
Fletcher yang dianggap antara pemain tengah terbaik muncul menerusi akademi United dan membuat kemunculan sulung bersama kelab itu pada Mac 2003.
Ketika bersama United, dia menjulang lima kali gelaran Liga Perdana, dua kali Piala Liga, Liga Juara-juara dan Piala Kelab Dunia FIFA serta 66 kemunculan bersama skuad kebangsaan Scotland dan menjaringkan lima gol. – AFP