KUALA LUMPUR – Ford Motor Company (Ford) mencapai jualan tertinggi bagi keseluruhan modelnya di Malaysia pada Januari apabila jualan runcit meningkat 38 peratus, tahun ke tahun, kepada 1,544 unit.
Dalam kenyataan hari ini, Ford berkata jualan tertinggi itu didorong oleh permintaan berterusan bagi trak pikap Ranger, Fiesta dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak EcoSport.
“Pikap Ranger terus menjadi jenama jualan terbaik kami di Malaysia dan mencapai prestasi memberangsangkan dengan jualan runcit melonjak 87 peratus, tahun ke tahun, kepada 1,169 unit.
“Bulan Januari turut menyaksikan pembukaan kemudahan Ford yang dinaik taraf di Batu Pahat, Johor, yang menawarkan servis, alat ganti dan jualan di bawah satu bumbung,” katanya.
Pengarah Urusan Ford bagi Malaysia dan Pasaran Pesat Membangun Asia Pasifik David Westerman berkata penaiktarafan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Ford untuk terus meningkatkan pengalaman pemilikan dan pelanggannya.
“Rakan kongsi kami di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd, melabur RM140 juta dalam syarikat-syarikat pengedar baharu dan sedia ada bagi tempoh dua tahun.
“Dengan itu dan lebih banyak kenderaan Ford segmen terkemuka global ke Malaysia pada tahun ini, kami yakin untuk terus mengukuhkan jenama Ford di sini,” katanya. – BERNAMA