Pihak polis Cape Town di Afrika Selatan yakin dapat mengesan pembunuh tiga daripada lima sekeluarga dalam satu serangan menggunakan kapak pada 27 Januari lalu.
Dalam kejadian itu, Teresa van Breda, 54, ditemui mati di balkoni manakala mayat suaminya, Martin, 55 dan anak lelakinya Rudi, 22, ditemui dalam sebuah bilik tidur.
Anak perempuannya, Marli, 16, pula cedera parah di bahagian kepala dan leher dan kini sedang diletakkan di bawah penjagaan unit rawatan rapi hospital.

Laporan beberapa media dilihat cuba memberi petunjuk bahawa suspek kejadian tersebut mungkin anak kedua pasangan Breda iaitu Henri, 20, yang hanya mengalami kecederaan ringan dan turut bertindak menghubungi talian kecemasan selepas kejadian.
Portal News24 menyebut Henri mempunyai masalah kesihatan dan pernah menjalani rawatan imbasan otak pada tahun lalu, namun keputusannya adalah negatif.
Sementara itu, eNews Channel Africa pula melaporkan pemuda itu kedengaran ketawa dalam perbualannya dengan operator talian kecemasan.

Bagaimanapun, semua spekulasi itu dinafikan oleh bapa saudaranya yang memberitahu Henri kini sedang berduka atas kejadian yang menimpa keluarganya itu.
Kini, pihak polis berharap Marli dapat membantu untuk menyelesaikan kes pembunuhan tersebut memandangkan dia sudah boleh memberi respon melalui kerdipan mata. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=CzJGjmMbwmE
Oleh: Elza