KUALA LUMPUR – Mengapa seseorang perlu memohon pengampunan jika dia benar-benar tidak bersalah?
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, seseorang yang tidak melakukan kesalahan tidak sepatutnya memohon pengampunan.
Justeru, katanya, langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pengampunan diraja ke atas hukuman penjara lima tahun dihadapinya kerana meliwat menimbulkan persoalan ramai.
“Walaupun mejadi hak mana-mana banduan memohon pengampunan, PKR mesti menjelaskan mengapa Anwar perlu dikecualikan daripada hukuman bagi jenayah yang telah disabitkan .
“Sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab, PKR tidak perlu meletakkan kepentingan pemimpin mereka melebihi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kata Keng Liang, seseorang yang telah didapati melakukan jenayah oleh mahkamah perlu menjalani hukuman yang ditetapkan tanpa mengambil kira mereka adalah ketua pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, jika PKR tidak bersetuju dengan hukuman kerana meliwat dihadapi pemimpin pembangkang tersebut, maka wajar PKR mencadangkan supaya hukuman kerana meliwat dimansuhkan.
“Tidak ada asas yang baik untuk pengampunan dan pengecualian hukuman melainkan jika jenayah liwat dimansuhkan oleh Parlimen,” katanya. – mynewshub.cc