KOTA BAHARU – Sambutan Tahun Baharu Cina diharap terus membina hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan mereka menjadi lebih pemurah, adil dan sentiasa mempedulikan satu sama lain, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
“Tahun kambing bagi masyarakat Cina membawa erti kedamaian dan kemakmuran semoga ia dapat diterapkan sepenuhnya dalam masyarakat,” katanya dalam perutusan sempena menyambut Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat Tiong Hua di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempengaruhi landskap politik baharu di negara ini dengan dukungan semua kaum lain.
“Kita telah bersama-sama memberikan sumbangan ke arah lahirnya sebuah negara yang lebih adil dan aman buat semua,” katanya. – BERNAMA