SHAH ALAM – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek memuji langkah Nestle (Malaysia) Bhd yang melancarkan kempen menurunkan harga produknya serta menggesa inisiatif itu diikuti oleh syarikat lain.
Beliau berkata kempen selama sebulan dengan diskaun antara lapan dan 33 peratus itu adalah langkah tepat syarikat tersebut dalam membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia yang menghadapi kenaikan kos sara hidup.
“Inisiatif ini juga seiring dengan komitmen teguh kerajaan untuk memastikan pengguna menikmati nilai hebat bagi wang mereka,” katanya ketika melancarkan kempen ‘Lebih Nilai, Lagi Hebat’ Nestle, di sini hari ini.
Kempen yang bermula 27 Feb itu menawarkan lebih 11 juta pek promosi termasuk jenama Nestle yang popular di negara ini seperti Maggi, Milo dan Nescafe.
Mengulas mengenai kempen terbesar dalam sejarah syarikat, Pengarah Urusan Nestle Alois Hofbauer berkata Nestle berazam memastikan penggunanya terus menikmati nilai hebat dengan pelbagai promosi dan kempen menarik sepanjang tahun ini.
“Semua peruncit yang terlibat akan memastikan pengguna menerima tawaran hebat termasuk pek bonus menarik dan diskaun harga,” kata Hofbauer. – BERNAMA