PENYANYI Ifa Raziah menyatakan dia tidak berasa terancam atau tergugat dengan Ratu Dangdut, Amelina yang kembali memeriahkan industri hiburan tempatan dengan kemunculan semulanya selepas 15 tahun menghilangkan diri daripada arena dangdut.
Menurutnya, comeback Amelina tidak begitu dirasainya kerana sehingga ke hari ini Amelina tidak mengeluarkan single terbaharunya, sebaliknya hanya menyanyikan lagu-lagu lamanya yang masih lagi menjadi siulan hingga ke hari ini.
“Comeback sesuatu yang baru, saya tak nampak benda yang baru (dari Amelina), dia masih nyanyi lagu-lagu lama, mana yang barunya.
“Tidak mengapalah dia nak muncul, muncul la, takde siapa menghalang pun. Takde dia ke, ada dia ke, sama sahaja, takde beza pun pada saya.
“Saya masih boleh cari makan dengan irama dangdut, masih bertahan sampai hari ini kerana industri dangdut,” katanya ketika ditemui Mynewshub pada majlis pertunjukan fesyen KL High Street 2015 di Black Box, Publika, Sabtu lalu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai fenomena sesetengah selebriti masa kini yang membuat kerja sampingan dengan memberikan review berbayar di laman Instagram, Ifa mengatakan dia langsung tidak berminat untuk berbuat demikian demi menjaga standard-nya.
“Saya tak mahu nampak murah di situ, bukan saya kata saya artis mahal ke apa, cumanya saya tak mahu nampak murah (dengan buat review iklan di Instagram) sebab saya ada standard saya sendiri.
“Cumanya saya akan memberikan kredit kepada sesiapa yang menaja contohnya busana yang digayakan saya ketika menghadiri sesuatu majlis, itu sahaja,” katanya.
Usai menjayakan program nyanyian Gegar Vaganza, Ifa, 39, kini sedang sibuk di studio merakamkan album terbaharunya yang bakal dilancarkan pada bulan April ini.
-MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR