TEMERLOH – Penternak ikan sangkar dan pengusaha kedai makan di daerah ini menjangkakan harga ikan patin dan tilapia akan naik berikutan kenaikan harga bekalan makanan rumusan (palet) menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Penternak ikan sangkar dan pengusaha kedai makan, Aizun Zainudin 42, berkata, kenaikan harga ikan sangkar sekitar RM2 setiap kilogram tidak dapat dielak bagi mengimbangi kenaikan harga makanan palet dalam tempoh kurang dua bulan dari sekarang.
Menurutnya, harga ikan patin sangkar dijual sekitar RM15 ketika ini dan dijangka dijual pada harga RM17 bagi setiap kilogram April ini.
“Harga borong bagi setiap kilogram ikan patin pula RM12 berbanding antara RM10.50 hingga RM11 ketika ini,†katanya pada Sinar Harian.
Aizun berkata, dengan kenaikan harga ikan patin itu, kemungkinan besar harga ikan patin yang dijual di kedai makan akan naik kerana pemilik restoran terpaksa menampung kos kenaikan daripada pembekal dan pengusaha ikan sangkar.
Menurutnya, kenaikan itu adalah yang pertama tahun ini sejak kali terakhir naik pertengahan tahun lalu pada kadar RM1 bagi setiap kilogram.
“Pengilang menjual harga makanan rumusan ikan atau palet ikan pada harga RM52.50 setiap beg ketika ini bagi kandungan protein sebanyak 32 peratus dan dijangka makanan rumusan yang sama dijual pada harga RM54.50 tidak lama lagi.
“Kami rasa kenaikan ini tidak menjejaskan kuantiti jualan di seluruh daerah memandangkan pada masa ini permintaan terhadap ikan patin sangat tinggi.
“Penternak dan peniaga restoran pada masa ini juga berhadapan dengan kekurangan bekalan ikan patin selepas banjir besar yang melanda daerah ini hujung tahun lalu tetapi pengeluaran dijangka kembali stabil dalam tempoh antara empat ke enam bulan,†katanya.
Sementara itu seorang lagi penternak ikan, Samsudin Ahmad berkata, pengusaha ikan sangkar dijangka akan menaikkan harga ikan berikutan kenaikan kos makanan sebanyak RM2 bagi setiap beg dalam tempoh terdekat.
Bagi pengusaha ternakan ikan sangkar Samsudin Ahmad, kenaikan itu dijangka memberi kesan kepada kedai makan dan restoran yang juga mungkin akan menaikkan harga masakan ikan di premis mereka.
“Kita tidak dapat elak perkara ini kerana pembekal makanan dijangka akan menaikkan harga pada bila-bila masa, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran ikan khususnya patin dan tilapia.
“Dua faktor kenaikan ini mungkin berpunca daripada kejatuhan Ringgit dan pelaksanaan GST.
“Kami tidak tahu punca kenaikan ini memandangkan kos bahan api menurun tetapi tidak menolak kemungkinan kilang makanan ikan terpaksa mengimport bekalan bahan mentah pada harga tinggi berikutan mata wang Ringgit jatuh,†katanya. – Sinar Harian Online
https://www.youtube.com/watch?v=zLKKmdaPcps